Isnin, 9 Ogos 2010

Dari E-mail Rakan - Kehebatan BUDU Kelantan


Oleh ZAID MOHD. NOOR

Sos ikan bilis yang diperam hingga hancur telah lama menjadi kegemaran
masyarakat Pantai Timur. Kini makanan tradisional itu mendapat
kebanggaan baru - dipeketkan dan dijadikan produk kecantikan.

_____

BUDU sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan. Dikatakan, hampir
setiap keluarga di negeri itu mempunyai sekurang-kurangnya sebotol budu
di dapur mereka.

"Walaupun keluarga saya berketurunan Cina, namun kami selalu makan budu
bersama ikan bakar dan ulam-ulaman," akui Tan Chia Ying, 22.

Beliau yang tinggal di Kampung Panji, Kota Bharu, tidak malu mengaku
makan budu sejak kecil. Keluarganya sering menyediakan budu yang diperah
limau nipis dan dicampur cili api dan bawang.

"Bukan sesuatu yang ganjil sekiranya melihat masyarakat Cina di
Kelantan makan budu. Malah ramai kenalan saya yang berketurunan Cina
meminati budu," katanya yang berkulit putih gebu.

Kartilawati Subari, 40, pula berkata, beliau sentiasa menyimpan bekalan
budu di rumahnya untuk dihidangkan kepada keluarga.

Terang beliau, walaupun budu merupakan makanan tradisional namun ia
mempunyai banyak khasiat tetapi kurang didedahkan.

"Budu dikatakan menyumbang kepada kecantikan dan awet muda," ujarnya
sambil tersenyum.

Bagi seorang usahawan, Mat Ismail, 57, permintaan budu yang tidak
pernah putus itu adalah satu idea perniagaan yang hebat.

Pada tahun 1978, Mat mula membuat budu secara kecil-kecilan di belakang
rumahnya di Kampung Geting, Tumpat dengan bermodalkan RM1,500. Beliau
menubuhkan syarikat Perusahaan Warisan Ketereh dan menggunakan biji
ketereh sebagai tanda niaganya.

BUDU Ketereh yang diusahakan Mat Ismail turut digunakan sebagai agen
antipenuaan dalam produk kosmetik.

_____

Selepas 30 tahun, ternyata budu telah memberi banyak kebanggaan kepada
beliau.

Ia bukan semata-mata kerana beliau kini tinggal di rumah banglo dan
memandu kereta Mercedes Benz.

Sebaliknya, Budu Ketereh beliau menjadi budu pertama negara ini yang
diiktiraf sebagai harta intelek. Kejayaan itu dicapai pada tahun 2007.

Berikutan pengiktirafan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM) itu,
Budu Ketereh kini dilindungi mengikut Akta Perlabelan.

Budu Ketereh juga digunakan oleh Institut Standard dan Penyelidikan
Perindustrian Malaysia (Sirim) untuk menghasilkan produk kosmetik.

Buat masa ini, Mat mempunyai sebuah kilang budu di atas tanah seluas
0.8 hektar dengan dibantu 40 orang pekerja.

SOS budu terhasil selepas enam bulan dibiarkan di dalam tong
pemeraman.

_____

Empat daripada lapan anaknya hasil perkahwinan dengan Kamariah Hussein,
45, turut melibatkan diri dalam perniagaan itu.

Menurut Mat, proses membuat budu adalah ringkas iaitu hanya mengunakan
ikan bilis, garam dan gula.

Katanya, kerja memproses budu dimulakan dari bulan Jun hingga November
kerana ia merupakan musim ikan bilis.

IKAN bilis merupakan ramuan utama budu.

_____


ADAKAH rahsia kehalusan kulit wanita Kelantan kerana mereka mengambil
budu setiap hari?

_____

"Dalam tempoh tersebut, kerja-kerja pembersihan dan pengasingan ikan
bilis dilakukan oleh pekerja di bahagian pelantar kilang yang dibina di
tebing sungai sebelum diangkut ke darat.

"Ikan bilis itu digaul dengan garam dan diperam selama enam bulan di
dalam tong gentian kaca atau dalam kolah yang diperbuat daripada simen,"
katanya yang kini memiliki 20 buah tong gentian kaca berukuran 1.2 meter
tinggi dan 2 meter lebar.

Khabarnya, Mat merancang untuk membeli 200 buah tong lagi.

Penggunaan tong gentian kaca disarankan oleh Sirim bagi meningkatkan
kebersihan produk berbanding kolah simen.

Bulan Disember hingga Mei pula adalah masa untuk memasak, menapis dan
membotolkan makanan itu.

Selepas budu dimasak, ia ditapis dan disejukkan selama beberapa jam
sebelum dibotolkan menggunakan tenaga mesin dan manusia.

Secara purata, kilang Budu Ketereh mampu mengeluarkan 12,000 botol budu
sehari untuk memenuhi pasaran di seluruh Malaysia.

Bekalan bilis makin kurang

Bagaimanapun, Mat mengakui kekurangan ikan bilis menyebabkan
pengeluaran budunya agak terhad.

Secara purata beliau memerlukan bekalan ikan bilis sebanyak tiga hingga
empat tan sebulan, namun bekalan yang diperoleh sejak kebelakangan ini
sekitar satu tan sahaja.

"Saya terpaksa membeli ikan bilis dari Sabah untuk memenuhi
permintaan.

"Ikan bilis di perairan negara kita semakin berkurangan dan pada masa
yang sama banyak kawasan pulau telah diwartakan sebagai Taman Laut
Negara," katanya yang menambah budu yang baik bergantung pada kualiti
ikan bilis yang dibekalkan.

Pada awal tahun ini, Mat membeli sebuah mesin pembungkusan baru
berharga RM45,000 untuk memasarkan budu dalam bentuk peket.

Budu yang diusahakan oleh Mat Ismail merupakan budu yang pertama di
negara ini yang dimodenkan penampilannya hasil bantuan Sirim dan
Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC).

Menurut Mat, idea untuk memasarkan budu di dalam peket muncul selepas
beliau mendapati kebanyakan produk seperti kopi segera kelihatan lebih
moden dan ringkas apabila dipeketkan.

"Selain itu, budu yang disimpan di dalam botol agak sukar dipasarkan ke
negara luar kerana ia tidak boleh dibawa dengan kapal terbang.

"Dengan pembungkusan menggunakan teknik lebih canggih, saya berharap
Budu Ketereh mampu menembusi pasaran antarabangsa sedikit masa lagi,"
katanya.

Mat berkata, mesin pembungkusan baru itu mengeluarkan budu dalam dua
peket berbeza iaitu kandungan 20 mililiter dan 80 mililiter. "Dalam
sehari mesin itu boleh mengeluarkan lebih 1,000 peket budu," katanya.

Budu cerahkan kulit dan antipenuaan

RAUT wajah Penyelidik Kanan Alam Sekitar dan Bioproses, Pusat Teknologi
Sirim, Hamidah Sidek kelihatan seperti gadis 20-an walaupun umur
sebenarnya adalah 40 tahun.

Apabila ditanya rahsia awet mudanya, graduan dalam bidang pertanian
dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beliau pada mulanya
menggunakan produk kecantikan terkenal.

"Namun kini saya beralih kepada makan budu setiap kali makan tengah
hari dan makan malam," katanya.

HAMIDAH menunjukkan produk kosmetik dengan jenama BK yang turut
mengandungi budu.

_____

Menurut Hamidah, dalam kajian yang dilakukannya selama dua tahun
bersama 10 penyelidik Sirim yang lain, makanan tradisional itu mampu
mengekalkan wajah muda seseorang.

"Proses penapaian budu menguraikan bahan organik kepada peptida dan
asid amino yang menyumbang kepada rasa dan aroma lazat serta mempunyai
nilai kosmetik.

"Ia berkesan sebagai agen mencerahkan kulit dan antipenuaan. Semua ini
berlaku kerana ekstrak marin daripada budu berupaya melawan radikal
bebas, merangsang pertambahan sel kulit dan menggalakkan penghasilan
kolagen.

"Ia juga mampu melindungi kulit daripada sinaran matahari," terang
beliau yang telah melakukan kajian makmal dan ujian ke atas 25
individu.

Sebahagian besar individu yang diuji mendapati wajah mereka semakin
cerah, bintik jerawat berkurangan dan menyelesaikan masalah kulit
berminyak.

Produk kosmetik budu Sirim terbahagi kepada tiga iaitu pembersih dan
penyegar, krim kulit dan serum kecantikan kulit. Ia menggunakan jenama
BK iaitu Budu Kelantan atau Budu Ketereh.

"Walaupun hanya satu peratus ekstrak budu digunakan sebagai bahan asas
kosmetik tetapi ia berkesan kerana komponen itu sudah cukup untuk
memberi khasiat kepada pemakainya.

"Malah kami kini mengkaji potensi tempe sebagai produk kosmetik,"
katanya.

Hamidah berharap produk BK akan mendapat sambutan daripada pengguna
kelak sebaik sahaja Sirim bertemu syarikat yang berminat untuk
mengedarkannya. - MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Thanks & Best Regards,

Afzanizam Hashim

Lab Technician

ERT Leader

NIPPON EGalv Steel Sdn.Bhd.

no.1617, Lorong Perusahaan Maju 6, Prai Idustrial Estate IV,

13600 Prai, Penang, Malaysia.

email : afzanizam@tattgiap.com.my

Tel : 04-5070350 (ext-210)

H/P : 0104690705

Tiada ulasan:

Catat Ulasan